Dilahirkan Kembali

By Ernie dan Mary Kroeger (diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia oleh Lazarus Gideon)

Dalam perbualan Yesus Kristus dengan Nikodemus, seorang pemimpin Yahudi yang alim daripada golongan Farisi, Dia menunjukkan fakta bahawa adalah mustahil untuk melihat Kerajaan Allah tanpa terlebih dahulu dilahirkan semula. "Sesungguhnya-Aku berkata kepadamu, kecuali seseorang dilahirkan semula, dia tidak dapat melihat kerajaan Allah. Aku berkata kepadamu, sesungguhnya jika seorang tidak dilahirkan dari air dan Roh, ia tidak dapat masuk ke dalam Kerajaan Allah." (Yohanes 3:3,5)

Dilahirkan dari air dan Roh itu wajib untuk seseorang umat boleh melihat dan memasuki kerajaan Allah! Oleh itu, pengetahuan mengenai Allah dan Al-Kitab tidak mampu membawa kita ke dalam kerajaan Allah; begitu. jugalah karya-karya baik mahupun usaha sendiri tidak berupaya membawa kita ke dalam kerajaan Allah. Kelahiran yang baru yakni kelahiran semula ialah asas untuk memasuki kerajaan Allah.

Bagaimanakah kita dilahirkan daripada air? Memang hal ini sukar untuk kita fahami sebagaimana Nikodemus juga sukar memahaminya.

Kita perlu faham bahawa air melambangkan penghakiman.

Yesus berkata bahawa sebelum kita boleh dilahirkan daripada Roh, hendaklah berlaku suatu penghakiman terlebih dahulu, iaitu penghakiman terhadap anak Adam yang dahulu - yang disimbolkan oleh pembaptisan (atau juga disebut sebagai "pengimadan"). Konsep ini tergambar dalam 'air penghakiman' pada zaman Nuh, serta dalam zaman Musa apabila Firaun dihakimi menerusi air (Laut Merah). Penghakiman ini membawa kita ke sebuah dimensi baru. Pada zaman Nuh, air menurunkan penghakiman atas kalangan umat kafir (iaitu para umat yang tidak percaya kepada Allah) ke dalam satu dimensi baru.

Pada zaman Musa air Laut Merah menimpakan penghakiman atas Firaun dan juga atas bala tenteranya, serta membawa umat Israil ke dalam suatu dimensi baru - pembebasan berkekalan daripada kekangan perhambaan di bawah para warga Mesir. Mereka dibebaskan daripada kezaliman para tukang kerah dan ke dalam kebebasan untuk menyembah Allah.

Pada zaman kita sekarang, air pembaptisan/pengimadan membawa penghakiman atas anak Adam dan menanamkannya. Persetujuan kita untuk menerima penghakiman ini merupakan simbol pertaubatan, dan kita dibebaskan daripada kezaliman undang-undang berserta segala ritual dan kutukannya, lalu kita diangkat bersama-sama dengan Kristus ke dalam kehidupan. Ini membawa kita ke dalam dimensi baru iaitu kehidupan dalam Roh. Kerajaan Allah ialah alam yang tidak kelihatan, ia sebuah kerajaan spritual dan ia mustahil dimasuki oleh manusia semula jadi atau manusia fizikal.

Nikodemus seorang yang taat beragama dan memang amat tahu fasal isi kandungan Al-Kitab. Dia banyak tahu MENGENAI Allah, tetapi dia tidak MENGENALI Allah. Banyak yang dia tahu berkenaan berkarya DEMI Allah, tetapi dia tidak tahu bagaimana untuk melaksanakan karya ALLAH.

Dia boleh berbicara mngenai Al-Kitab dan mengambil bahagian dalam perbincangan mengenai Al-Kitab, tetapi dia tidak ada sesuatu hubungan dengan Allah. Ramai orang yang mendapati diri mereka dalam keadaan susah yang sama. Mereka begitu mecintai perbincangan mereka mengenai Allah dan memang sibuk melaksanakan karya-karya baik mereka, namun, sayang sekali, mereka tidak tahu pengertian "dilahirkan kembali". Ramai yang menyamakan kelahiran baru itu dengan menyertaai jemaah sebuah gereja. Pada hemat mereka, persetujuan mental mereka dengan segala doktrin sesebuah gereja itu bererti bahawa mereka sudah pun menjadi warga Kristian. Pada hemat mereka dengan menyetujui doktrin gereja berserta karya-karya baik sudah memadai untuk kemasukan mereka ke dalam Kerajaan Allah.

Yang lain-lainnya mendakwa sudah dilahirkan kembali atas sebab mereka telah mempelajari dan hafaz dengan peristilahan yang betul. Namun begitu, Kristus tidak peduli dengan peristilahan kita; Dia mahu supaya kita mengalami pengalaman sebenar dilahirkan daripada atas - dilahirkan daripada Roh! Memang Yesus Kristus yang menetapkan piawaian (iaitu standard) bagi kemasukan ke dalam kerajaan-Nya, dan sememangnya Dia berfirman bahawa kita perlu dilahirkan kembali!

Mengapakah kelahiran baru itu amat genting dan penting sekali dalam hal kemasukan ke dalam Kerajaan Allah? Mengapakah ilmu pengetauan serta usaha kita sendiri tidak memadai? Sebabnya ialah gimnastik mental sekadar mampu secara terhad sahaja untuk mengubah perangai kita, tetapi ia tidak berdaya mengubah kita! Pengetahuan yang muncul daripada minda semula jadi kita tidak mampu untuk membebaskan kita daripada kekangan diri sendiri dan daripada segala dusta yang kita anggap sebagai kebenaran. Kesemua yang pada permulaaan atau asalnya ialah daripada minda itu memang bertentangan dengan sumber daripada Roh. Kita memerlukan lebih daripada pengetahuan mengenai yang baik dan yang jahat! Kita memerlukan Yesus Kristus! Kita memerlukan suatu pertemuan baru dengan-nya yang merubah kehidupan kita, seperti yang dialami oleh Saul daripada Tarsus (Rasul Paulus) ketika dia dalam perjalanan ke Damsyik untuk menganiaya para warga Kristian.

Kelahiran kita secara fizikal membawa kita muncul dalam kehidupan yang dirosakkan oleh diri kita.

Kita semua dilahirkan dalam kematian; kita semua datang ke dalam dunia ini dalam keadaan sudah mati dalam dosa-dosa serta pelbagai pelanggaran kita. Dalam Adam kesemua kita mati! Adalah mustahil untuk keluar daripada kematian kita dalam Adam tanpa dilahirkan daripada sumber yang dasarnya ialah KEHIDUPAN. Kerajaan Allah itu ialah kewajaran, aman damai dan kegembiraan dalam Roh Kudus! Kehidupan ialah Roh itu! Kelahiran baru kita tidak ada kena-mengena dengan kehendak manusia. Di dalam Yohanes 1:13 kita baca, " Kelahiran mereka bukan melalui darah keturunan, atau kehendak tabii manusia, atau kemahuan seorang lelaki, tetapi kerana perbuatan Allah." Sebagaimana kita tiada apa kena mengena dengan kelahiran fizikal kita, begitu jugalah kita tiada apa kena mengena dengan kelahiran spiritual kita. Kelahiran baru kita berlaku menerusi kehendak Allah, sebab Dia jugalah yang membawa kita keluar darpada kematian dalam Adam dan meletakkan kita ke dalam kehidupan yang merupakan kehidupan Kristus!

Amat sedih mengenangkan bahawa kita banyak diajar hal-hal yang tidak berdasarkan Al-kitab. Kita diberitahu bahawa terpulang kepada kita sendiri sama ada untuk mengikut Kristus atau tidak. Namun begitu Yesus berfirman, " Bukan kamu yang memilih-Ku tetapi Aku yang memilihmu." (Yohanes. 15:16a) Dia juga berfirman, " Tiada seorang pun yang dapat datang kepada-Ku kecuali didorongkan oleh Bapa yang mengutus-Ku" (Yoh. 6:44). Biarpun kita berkata bahawa kita diselamatkan melalui kasih kurnia (Bapa di syurga), kita juga diajar bahawa kasih kurnia-Nya itu memang tertakluk kepada kehendak bebas kita, dan jika kita tidak membuat pilihan yang tepat maka kita ditakdirkan untuk selama-lamanya menghadapi nasib malang. Maka, iman kita, doa kita pengakuan dosa kita dan lain lain, memang ada kena-mengena dengan nasib kita itu dan syurga ialah ganjaran kita atas sebab kita telah membuat pilihan yang tepat.

Pemikiran sebegini membenihkan kekasaran yang sanggup berkata "memang patut kalangan miskin serta pendosa yang jahil masuk neraka buat selama-lamanya sebab dia tidak membuat pilihan yang tepat. Sebenarnya kematian, dan bukan neraka, yang merupakan hukuman bagi keingkaran, sebab Allah memberitahu Adam bahawa hukuman bagi memakan buah terlarang daripada pohon pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat akan mengakibatkan kematian. Kita gagal menyedari bahawa penyelamatan kita bukanlah terhasil daripada karya-karya kita, tetapi daripada kasih kurrnia Allah. Memang Allah yang meyakinkan kita mengenai bagaimana kita memerlukan Dia! Ayuh kita ingat bahawa "tiada seoranpun yang dapat datang kepada-Ku (Yesus) kecuali didorong oleh Bapa yang mengutus Aku." (Yohanes 6:44)

Di dalamn Matius 19:24 Yesus berfirman,"lebih mudah bagi seekor unta memasuki lubang jarum daripada seorang kaya memasuki Kerajaan Allah ." Sebaik sahaja mendengar itu para pengikutnya bertanya, " Kalau begitu, siapakah yang dapat diselamatkan??" Yesus menjawab, " Hal itu mustahil bagi manusia, tetapi bagi Allah tidak ada satu pun yang mustahil" (ayat 25-26). Itu di luar jangkauan manusia; itu hanya boleh berlaku dengan Allah.

Pertukaran agama Paulus berlaku sebab Yesus mendatanginya! Paulus tidak mendatangi Yesus -Yesus yang datang kepadanya. Dia (Yesus) juga perlu mendatangi kita! Kelahiran baru kita menjadikan kita sebuah penciptaan baru! Hal-hal lama telah lenyap dan segala-galanya baru. (2 Kor. 5:17) Penciptaan baru ini ialah suatu penciptaan spiritual atas sebab kita telah dilahirkan dari atas! Ciptaan ini tidak mengandungi unsur duniawi. Ia berkualiti lebih tinggi berbanding Adam yakni sebelum Adam jatuh ke dalam jebak dosa. Adam adalah campuran debu dan Roh, maka dia ditumpaskan oleh nafsu syahwat (daging) duniawi, dan kemungkaran itu menyebabkan kematian. Kristus mengeluarkan kita daripada campuran debu dan Roh itu lalu membawa kita ke dalam kehidupan yang tiada kematian di dalamnya! Tiada kematian dalam kehidupan-Nya kecuali kematian terhadap dosa!

Kerajaan Allah terdiri dari kalangan umat manusia yang di bawah perintah kehidupan-Nya. Maka untuk memasuki kerajaan-nya, pertama-tamanya, kita perlu menerima kehidupan. vKematian tidak boleh masuk ke dalam! Ini menunjukkan betapa perlu sekali dilahirkan kembali. Kelahiran baru kita mengubah kita dari dalam; hanya terhad sahaja kemampuan ilmu pengetahuan untuk mengubah perilaku kita. Kelahiran baru kita mengeluarkan kita daripada kategori pendosa dan meletakkan kita dalam kategori insan kudus; ia mengeluarkan kita daripada alam duniawi dan meletakkan kita ke dalam alam syurgawi atau alam kehidupan!

Petrus mewartakan, " kerana kamu telah dilahirkan semula, bukan daripada benih yang dapat dibinasakan tetapi daripada yang tidak mungkin dimusnahkan, melalui firman Allah ." (1 Petrus 1:23) Kita telah dilahirkan daripada benih yang tidak mengandungi pencemaran, dan ia juga tidak boleh dicemarkan! Segala-galanya adalah dalam ketidakcemaran, dan ini termasuk buahnya! Sifat baru kehidupan kita tidak boleh melakukan dosa! Ayat ini begitu sempurna harmonisnya dengan firman dalam 1 Yohanes 3:9 di mana tercatat, " Sesiapa yang menjadi anak Allah tidak akan berbuat dosa berterusan kerana benih Allah ada di dalam dirinya. Oleh sebab Allah itu Bapanya, dia tidak mungkin berbuat dosa berterusan . " Apa yang dilahirkan daripada Allah mustahil melakukan dosa!

Soalan yang serta-merta mendatangi kita ialah, "Jadi mengapakah kita masih melakukan dosa sesudah kita dilahirkan kembali?" Atas sebab saya masih melakukan dosa, apakah saya sebenarnya dilahirkan kembali? Adakah saya kekal dalam kategori pendosa sekalipun saya sudah dilahirkan kembali? Seolah-olah ada konflik antara pengishtiharan Allah mengenai siapakah diri saya, dan apa yang sedang saya alami. Bagimana boleh saya menjadi orang salih yang sempurna walhal saya masih hidup dalam dunia ini? Atau, adakah itu kesempurnaan yang dikhaskan untuk ketika saya mati dan masuk ke syurga kelak? Di manakah boleh saya memperoleh jawapan bagi apa yang tampak seperti kontradiksi antara pengistiharan Allah dengan pengalaman saya?

Untuk mendapatkan kefahaman yang lebih baik dalam hal ini, ayuh kita melawat situs/tapak kerja seorang pelebur emas. Memang kita tahu bahawa emas melambangkan sifat kesempurnaan Allah. Di situs pelabur emas itu kita lihat batu-batu yang tidak menarik yang mengandungi emas; kita lihat api yang terlalu panas yang diperlukan untuk mengasingkan emas daripada pelbagai bendasing dan unsur ketidaktulenan yang bersama-sama emas itu; kita lihat bendasing iaitu kekotoran naik ke atas di mana ia boleh dikaup dan dikeluarkan. Kemudian kita lihat barangan siapnya - emas yang berkilau-kilauan! Pada suatu hari, TUHAN berkata kepada saya, "Adakah anda lihat bagaimana bendasing dan unsur ketidaktulenan itu tidak dimiliki oleh emas itu? Namun begitu, perlu haba yang begitu banyak dan berdarjah tinggi untuk memisahkan kedua-duanya." Segala ketidaksempurnaan kita tidak dimiliki oleh kejadian baru berupa diri kita dalam Kristus, tetapi ia perlukan api yang tidak menghanguskan iaitu Allah, untuk mengasingkan segala-gala itu daripada kita. Api-Nya terdiri daripada pelbagai tekanan, kesukaran, cabaran dan musuh-musuh! Kita perlukan semua itu agar emas itu (sifat baru kita) diasingkan daripada segala ketidaktulenan yang dimiiki oleh sifat dan sikap lama kita yang masih bergayut pada kita. Itu ialah api Roh Kudus yang menyebabkan pengasingan (emas daripada bendasing dan ketidaktulenan) tersebut! Sebenarnya memang Allah itu api yang menghanguskan, dan api-Nya menghanguskan bendasing serta ketidaktulenan yang bukan milik kita! Apinya tidak menghanguskan kita tetapi sekadar menghanguskan apa yang bukan merupakan milik kita!

Jadi, ayuhlah kita meneliti apakah 'bendasing' yang (sepatutnya) bukan milik kita. Keingkaran Adam membawanya serta anak-cucunya ke dalam alam kematian. Jadi kita tahu betapa keingkaran bukanlah milik kehidupan. Di dalam 1 Petrus 1:22 difirmankan, " Oleh sebab kamu telah menyucikan rohmu dalam mematuhi kebenaran supaya mempunyai kasih yang ikhlas kepada saudara-saudara seimanmu, maka kasihilah satu sama lain dengan sepenuh perasaan dan suci hati ." Hebatnya kenyataan itu! Kepatuhan kepada kebenaran menulenkan roh-roh kita (perspektif kita). Keingkaran terhadap firman Allah membawa kepada kematian, dan ketaatan kepada kebenaran (Yesus Kristus) membawa kita ke dalam kehidupan! Penulenan kita tidak berlaku dengan usaha kita menghapuskan ketidaktulenan daripada diri kita, tetapi adalah menerusi ketaatan kita terhadap kebenaran!

Ayuh kita melihat satu contoh. Apabila kita dilukakan dengan amat dalam oleh seorang warga Kristian, baik lelaki mahupun perempuan, rasa sakit itu membawa kepada suatu pemisahan dalam perhubungan kita itu. Kita cuba untuk memaafkan dia, namun segala daya usaha kita tidak mencapai hasil yang diingini. Hakikatnya kesemua kita ada bersalah dalam sesuatu perkara; kita semua memerlukan kemaafan, tetapi kita melupakan keperluan kita terhadap kemaafan apabila kita kesakitan atau disakiti. Daya usaha kendiri tidak ada kuasa untuk memaafkan; kuasa itu hanya ada dan tersedia kepada kita dalam Kristus. Dia telah mengurniakan cinta kasih-Nya kepada kita dalam diri Roh Kudus, dan cinta kasihnya senantiasa memberi maaf! Sebagaimana kita menerima dan meyakini kebenaran itu, kuasa Kristus akan membolehkan kita untuk memaafkan dan kita akan dibersihkan daripada ketidakmaafan kita.

Kepatuhan memerlukan kita untuk mengetepikan kehendak kita sendiri dan sebarang keinginan yang berlawanan dengan zat atau inti pati Allah! Sebaik sahaja kita berhenti daripada melihat pada pelbagai rintangan iaitu undang-undang, ketidakadilan dan 'luka di hati' - lalu menumpukan mata kita terhadap kemampuan Kristus di dalam diri kita, bolehlah kita melangkahkan kaki dalam kepatuhan kepada kebenaran. Selagi mata kita tertumpu pada masalah dan ketidakmampuan kita untuk mengatasinya, kita tidak akan menjadi pemenang. Dalam Ibrani 12:2 kita diberitahu untuk meneladani Yesus, yang mewujudkan dan menyempurnakan iman kita. Dengan menetapkan mata kita pada Yesus, kita pasti berkemampuan untuk memaafkan, sebagaimana Kristus memberikan kemaafan. Inilah hakikat dan kebenarannya. Dalam kepatuhan kepada kebenaran itulah kita memperoleh kemenangan!

Perlu kita ingat bahawa Yesus ialah jalan, kebenaran dan hidup! Oleh itu Yesus Kristus sekali-kali tidak akan menyesatkan kita; Dia tidak akan menipu kita; Dia tidak akan membawa kita jauh-jauh meninggalkan Allah! Kepatuhan pada perintahnya akan menyucikan kita daripada semua kejahatan. Ketaatan atau kepatuhan ialah penawar bagi keingkaran! Kepatuhan mengubah kita menjadi sebagaimana citra Kristus!

Return to the Insights into Living Articles Index